Assalamualaikum…ke hadapan suamiku yang tercinta. Semoga Tuhan sentiasa merahmatimu dan mengasihimu. Dirimu ku sanjung, penuh penghormatan. Terima kasih Tuhan, kerana menghadirkan dirimu dalam hidupku. Setelah sekian lama doa kupohon, tangan kutadah, memohon padaNya yang maha Mendengar. Aku meningimpikan seorang insan yang mampu menghiburkan hatiku, menghilangkan kesunyianku, menghapuskan laraku. Terima kasih kerana yang hadir adalah dirimu yang ternyata sangat istimewa di hatiku. Sayangku, dirimu benar2 membahagiakan hatiku. Terima kasih sayang…
Genap sudah setahun kita memadu kasih, membina cinta. Usia perkahwinan yang masih terlalu muda ini, tetap membawa 1001 erti dalam hidup kita. Pastinya masih jauh dari kesempurnaan, kerana kita manusia lemah yang tidak akan sempurna. Seringkali khilaf, seringkali terlanjur kata. Sering aku melukakan hatimu, sering juga menduga kesabaranmu. Maafkan diriku sayang, ternyata kau tetap masih mampu bersabar dan bertahan dengan sikapku. Aku dapat merasakan cintamu yang tak pernah pudar. Terima kasih sayang…
Sayang, dalam tempoh setahun ini juga kita sudah merasakan pahit dan manisnya hidup berumahtangga. Kita pernah diuji dengan perpisahan, dan hati merindu siang dan malam. Kita pernah diuji dengan kehilangan, sesuatu yang sangat kita dambakan dalam hidup ini. Namun Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang tetap memberikan kehidupan yang lebih baik buat kita. Aku gembira dan bahagia berada di sampingmu. Kau sentiasa ada di sisiku saat aku memerlukanmu. Dan bakal hadir pula dalam hidup kita, seorang cahaya mata yang sangat kita rindui. Syukurku hanya kepada Allah, kerana Dialah yang mengurniakan segalanya ini buat kita. Alhamdulillah. Terima kasih Allah…
Sayang, dalam tempoh lebih kurang sebulan lagi, aku akan menjadi seorang ibu, dan sayang akan menjadi seorang ayah, InsyaAllah. Ia satu saat dan detik yang sangat kita nantikan dalam hidup ini. Aku juga merasa apa yang kau rasa sayang. Semoga hidup kita lebih ceria dan bahagia dengan kehadiran anak ini. Sudah lebih 8 bulan dia di sini, dalam rahimku. Aku sangat tidak sabar menanti kelahirannya, sayang. Semoga kita mampu menjaga amanah Allah ini sebaiknya. insyaAllah.
Sayang, semoga kita akan terus berusaha dan berdoa untuk sebuah kebahagiaan yang sejati. Kita tak wajar merasa puas dengan apa yang kita kecapi hari ini, tapi kita tetap perlu bersyukur dengan apa kita nikmati hari ini. Masih terlalu banyak yang perlu kita perbaiki dan pelajari. Semoga kita mampu, sayang. Berdoalah kepada Allah agar diberi petunjuk dan peluang.
Sayang, aku bahagia menjadi sebahagian dari keluargamu, dan harap sayang juga merasakan begitu juga. Semoga dapat menerima keluargaku dengan hati yang ikhlas juga. Sayang, terima kasih kerana menyayangiku sepenuh hati. Sesungguhnya aku sangat bahagia dengan cintamu. Terima kasih kerana membahagiakan aku, dan sudi menghiburkan hatiku. Aku tak kesunyian, saat kau ada di sisiku. Terima kasih sayang. Semoga akan terus membimbingku ke jalan yang diredhai. Aku ingin menjadi saksi di akhirat nanti, bahawa sayang suami yang terbaik, telah menunaikan amanah dengan sebaiknya buat isteri dan keluarga. Aku juga berdoa dan berharap, agar Allah memanjangkan usia kita, dan memanjangkan jodoh kita hingga ke syurga…ameenn..
“SAYANG..SELAMAT HARI LAHIR DAN SELAMAT ULANGTAHUN PERKAHWINAN”
No comments:
Post a Comment