Thursday, 3 May 2012

DARIKU UNTUKMU



Dengan lafaz Bismillah kumulakan kalam,
buatmu yang sentiasa ikhlas menghulurkan cinta,
terima kasih tak terhingga di atas cinta yang tulus,
menjaga amanah Allah sebaik terakad lafaz ijab dan kabul..
Alhamdulillah untuk hari kelmarin,
dari bergelar pengantin baru, menjadi ibu ayah dan seterusnya,
kita telah harungi hari2 bersama,
menikmati suka, menempuh duka, dan menghadapi segala rasa...
Alhamdulillah juga untuk hari ini, 
saat aku membuka mata, kau masih ada di sisi,
ku masih dapat menatap wajahmu, mendengar suaramu..
pernah aku bayangkan, andai hidup tanpamu,
terus hati jadi pilu, jiwa jadi kosong, langkah jadi longlai,
hatiku sakit dan sebak...
Namun kau dan aku juga tahu,
hidup kita tak akan lama, 
pasti kau atau aku yang akan pergi dulu,
ya, demikian hakikatnya kerana kita makhluk yang akan binasa,
namun doaku, agar Allah pertemukan lagi kita di syurgaNya,
kerana aku ingin menjadi bidadarimu di dunia, malah di akhirat juga..
Kini kau makin mengenalku,
dari sudut kebaikan juga sebaliknya,
kerana pasti tersingkap segala kekurangan, kelemahan, cacat dan cela,
namun kupohon agar jangan ada bosan, jemu, dan benci,
sebaliknya hadirkan sabar, redha dan pertahankan ikhlasmu,
kerana aku hanya manusia biasa yang tak akan sempurna...
maafkan aku kerana belum mampu membuatmu bahagia,
sesungguhnya diri ini terlalu ingin melihatmu bahagia,
redhailah isterimu yang tak sempurna, 
kerana kuyakin hanya dengan redhamu dan rahmat Tuhan saja dapat kuraih syurga Ilahi...







No comments:

Post a Comment